FOMCA Bantah Lesen Judi Bola Sepak

Kebanjiran aktiviti perjudian di negara ini tidak akan membawa untung sebaliknya hanya menyumbang kepada peningkatan masalah sosial termasuk membabitkan keluarga.

Penasihat Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Chua Kim Tee berkata, beberapa kajian yang dilakukan sebelum ini turut menyokong kenyataan itu.

Menurutnya, selain masalah sosial, aktiviti perjudian juga membazir kerana ada yang sanggup berbelanja besar semata-mata mahu mendapat keuntungan cepat.

“Sebagaimana pendirian Fomca, saya juga merasakan kerajaan tidak patut membenarkan perjudian bola sepak di negara ini kerana sudah terlalu banyak kedai nombor ekor beroperasi.

“Sebagai negara Islam dan walaupun saya bukan beragama Islam, saya menganggap perjudian ini tidak patut dibenarkan,” katanya ketika diminta mengulas tindakan kerajaan membenarkan lesen judi bola sepak sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia, bulan depan.

Kim Tee berkata, kerajaan patut menimbang semula tindakan itu berikutan banyak pihak sudah memberikan maklum balas yang negatif terhadapnya.

“Tidak perlulah aktiviti sebegini. Bukannya ada kebaikan pun malahan ianya boleh menyumbang kepada pelbagai masalah sosial,” katanya.

0 comments:

Post a Comment