Isnin lalu Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua membangkitkan beberapa statistik yang pada saya menggerunkan. Menggerunkan kerana sebelum ini Malaysia dilaporkan mengalami kejatuhan yang sangat besar dalam sektor pelaburan asing: penurunan sebanyak 80 peratus. Negara menerima pelaburan asing sebanyak RM 23 bilion pada 2008 tetapi merosot kepada hanya RM4.4 bilion tahun lalu. Selain gagal menarik pelabur asing Malaysia juga gagal meyakinkan rakyatnya sendiri apabila agak ramai pemodal tempatan memilih untuk melabur di luar negara.
Apa kaitan itu semua dengan perlembagaan? Pada saya itu semua menunjukkan kepada kita malapetaka yang akan timbul apabila kita melanggar ideal dan peruntukan perlembagaan. Tanda-tanda awal kelihatan sebaik sahaja Tun Salleh Abas dipecat dari jawatan Ketua Hakim Negara pada 1988. Kebelakangan ini Malaysia mendapat tempat yang corot dalam liga ketelusan dan anti rasuah dunia. Dan, ini memberi kesan negatif kepada pelabur asing.
Sebelum ini bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah menyatakan keraguannya tentang kemampuan Malaysia mencapai status negara maju pada 2020. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyanggah Mahathir dengan menyatakan sebaliknya.
Apa pun saya tidak fikir Mahathir – yang menggagaskan Wawasan 2020 itu – sengaja hendak menyusahkan Najib. Dan sebenarnya pendapat Mahathir itu tidak berbeza dengan mesej yang pemimpin muda DAP bawa dalam statistik yang disajikannya. Sebagai orang politik Tony Pua tidak boleh mengarut. Dan sehingga ini tidak ada seorang pun pemimpin Barisan Nasional yang tampil mempertikaikan angka-angka yang dikemukakan oleh pemimpin DAP itu. Kita masih belum lupa yang sebelum ini Datuk Seri Idris Jala, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, meramalkan bahawa Malaysia akan bankrap dalam 2019, setahun sebelum wawasan yang digagaskan oleh Mahathir disasarkan.
Berbalik kepada angka-angka yang saya katakan menggerunkan tadi ia berkisar kepada hutang yang ditanggung oleh GLC – syarikat milik kerajaan – seperti Sime Darby, Tenaga Nasional dan Proton yang melebihi RM38 bilion. Sime Darby memang telah dilaporkan mengalami kerugian besar. Setakat ini kita masih belum mendapat gambaran jelas bagaimana Sime Darby boleh rugi teruk. Ada yang menuduh kerajaan terlalu banyak campur tangan sehingga GLC itu tidak boleh membuat keputusan perniagaan dengan betul. Ini memberi isyarat bahawa sekiranya tidak ada ketelusan dan pertanggungjawaban inilah jadinya. Kita perlu ingat bahawa GLC – tidak seperti entiti perniagaan yang lain – berniaga dengan duit rakyat. Tetapi sebagai GLC mereka ada banyak kelebihan dan tidak sepatutnya rugi.
Dalam analisisnya Tony Pua mempersoalkan bagaimana syarikat-syarikat kerajaan itu boleh membantu Najib dalam program transformasi ekonomi (ETP) yang mensasarkan pelaburan sebanyak RM1.4 trillion pada 2020; satu tempoh yang hanya 10 tahun dari sekarang. Pelaburan yang dinyatakan itu bertujuan menggandakan pendapatan per kapita rakyat; sesuatu yang perlu bagi Malaysia diiktiraf sebagai negara maju pada 2020. Sehari sebelum itu Najib kelihatan terdesak: dalam ucapan perasmian Mesyuarat Agung MCA ke 57 Ahad lalu Perdana Menteri berkata beliau perlu mandat baru dalam PRU 13 bagi memastikan program ETP berjalan.
Di sisi perlembagaan kerajaan tidak boleh berniaga. Ini kerana perlembagaan memperuntukkan peruntukan-peruntukan yang ketat seperti pertanggungjawaban kepada parlimen, pembentangan laporan Juruaudit negara dan seumpamanya. Selain itu perlembagaan juga mengupayakan rakyat melalui peruntukan yang menjamin hak asasi dan seumpamanya. Sebagai sebuah perlembagaan yang hendak melaksanakan demokrasi peranan kerajaan dalam kerangka sedemikian ialah menyediakan keamanan dan ketenteraman. Malangnya ini tidak berlaku. Kuasa polis, umpamanya, lebih banyak menyempitkan demokrasi dan tidak membukanya. Ini semua memberi gambaran dan tanggapan yang negatif. Dalam pada itu kita masih mengekalkan peruntukan darurat meskipun menteri dalam negeri tidak mengetahuinya!
Melihat kepada percambahan GLC jelas bahawa kerajaan aktif berniaga. Kerangka undang-undangnya berubah-ubah. Tetapi kebanyakannya di luar perlembagaan. Ertinya meskipun GLC ini menggunakan duit rakyat sebagai modalnya mereka tidak perlu menjawab kepada parlimen. Petronas, umpamanya, hanya menjawab kepada Perdana Menteri. Kita tahu bahawa syarikat kerajaan itu disuruh membayar itu dan ini dan kesemuanya berlaku sejak pentadbiran Mahathir lagi.
Antara iklim yang cuba dibina oleh perlembagaan ialah demokrasi yang di dalamnya ada ketelusan dan keterbukaan. Di sinilah pentingnya undang-undang seperti Enakmen Kebebasan Maklumat sebagaimana yang dibuat di Selangor dua bulan lalu. Kelantan ada menyebutnya tetapi sehingga ini belum melaksanakan. Sistem yang demokratik mengizinkan wujudnya ekonomi pasaran yang di dalamnya ada persaingan. Inilah antara sebab mengapa Perkara 153 yang mendukung kedudukan istimewa Melayu tidak disenangi, termasuk oleh adik Najib sendiri yakni Datuk Seri Nazir Tun Razak, pemilik Bank CIMB.
Di tengah-tengah segala yang negatif ini Najib masih mampu menebalkan muka meminta mandat lagi. Kalau di tempat lain usahkan rakyat, orang-orang dalam partinya sendiri akan menjatuhkannya dan meletakkan dengan kapten lain!
Mengikut jangkaan Pemandu – agensi pemantau yang diketuai oleh Idris Jala – program ETP menjangka bahawa pelaburan sebanyak RM1.4 trillion tadi akan disumbangkan oleh sektor swasta (60 peratus), GLC (32 peratus) dan kerajaan sendiri (8 peratus). Berdasarkan angka-angka tadi bolehkah sasaran ini dicapai? Apa pun Idris sudah memberi amaran bahawa negara mungkin bankrap dalam tempoh 10 tahun. Najib tidak mengesahkan jangkaan menteri berkenaan tetapi tidak pula memecatnya. Di sisi perlembagaan Najib boleh berbuat demikian.
Abdul Aziz Bari
0 comments:
Post a Comment