Memimpin Tangan Yang sudah Pandai Berlari

Apabila anak sulung saya Raja Nur Safiyah Raja Ahmad Shahrir mula pandai berjalan tidak lama dahulu, saya mahu memasang pintu pagar kecil di laluan menuju ke anak-anak tangga di dalam rumah, kerana risau dia menaiki atau menuruni tangga tanpa pengawasan. 

Sebagai ibu, naluri saya ketika itu ialah memberi perlindungan 100 peratus dengan setiap gerak-geri dan proses pembesaran dipantau sepanjang masa. 

Tekanan untuk memberi perlindungan berterusan ini bertambah kuat dengan tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen. Semasa saya dipilih rakyat Lembah Pantai, umurnya baru beberapa bulan. 

Namun kerja-kerja seharian sebagai ahli politik menyedarkan saya bahawa perlindungan melampau ini akan merosakkan proses tumbesaran Safiyah. 

Saya mula terfikir, tidak mungkin mengongkong dia sepanjang masa tanpa menjejaskan proses pengenalan kepada dunia sebenar apabila melihat kelemahan dalam sistem kuota Bumiputera yang tegas dipertahankan kerajaan hari ini. 

Sebarang usaha menilai dasar-dasar ini sering disambut cercaan, dan mereka yang membangkitkannya akan dipanggil pengkhianat oleh mereka yang menggelar diri pejuang Melayu. 

Bukanlah tujuan saya untuk meminta sistem kuota ini dihapuskan sepenuhnya. Apa yang ingin saya bincangkan, apakah perlindungan melampau ini sebenarnya membantu atau semakin mengongkong komuniti yang ingin dibantu itu. 

Saya tidak nafikan penduduk luar bandar yang kurang kemudahan atau pendedahan kepada dunia luar sememangnya perlukan bantuan dan panduan kerajaan dalam mendapat pendidikan yang lebih baik. 

Bantuan pendidikan seperti sekolah berasrama penuh, tempat belajar di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan lain-lain institusi awam adalah kemudahan untuk golongan dari latar belakang kurang bernasib baik yang akan terus saya pertahankan. 

Apa ingin saya persoalkan, apakah keperluannya untuk memimpin tangan mereka yang sudah pandai berlari? 

Di sini saya ingin membawa satu contoh, iaitu permit import (AP) kereta asing yang tujuan asalnya untuk meningkatkan penglibatan Bumiputera dalam bidang automotif. Masih adakah keperluan untuk sistem ini diteruskan? 

Kerajaan bercadang hapus sistem ini 2015, namun tekanan puak ‘pembela umat Melayu’ meyakinkan saya kerajaan akan berganjak.

Jun lalu, Kongres Ekonomi Bumiputera diketuai Perkasa desak dasar pemberian AP kepada Bumiputera ini diteruskan dengan alasan ia selari Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan menjamin kedudukan istimewa Melayu. 

Tuntutan kumpulan ini terkandung dalam memorandum mereka yang menolak cadangan Model Baru Ekonomi diilhamkan Datuk Seri Najib Tun Razak yang ingin mewujudkan keterbukaan dalam perdagangan Malaysia. 

Kelompok yang mendesak ini sudah tentulah mewakili kumpulan usahawan automotif yang sudah meningkat taraf ekonominya berbanding Bumiputera luar bandar yang masih mengharapkan campur tangan besar pihak kerajaan untuk membaiki taraf kehidupan mereka. 

Kisah salah guna AP ini sangat menakutkan. Beberapa tahun lalu apabila senarai penerima AP didedahkan, tidak kelihatan pula nama-nama besar syarikat automotif antarabangsa. Sudah tentu mereka membeli AP daripada ‘pengusaha’ tempatan untuk mengimport kereta, dan semua ini sekali lagi dilakukan atas nama mempertahankan Bumiputera. 

Saya faham, ada hujah mempertahan sistem ini agar industri tempatan dapat dilindungi. Namun siapakah yang akhirnya membayar kos import ini? Bukankah rakyat terbanyak juga membayar lebih wang untuk kereta mereka? Adilkah jika wang itu diambil dan disalurkan pula kepada ‘usahawan’ Bumiputera kaya yang sudah tidak memerlukan bantuan kewangan? 

Sistem ini sememangnya tidak boleh lagi dipertahankan. Selain daripada kisah-kisah ‘usahawan’ yang cari makan dengan menjual AP tanpa penglibatan sebenar dalam industri penjualan kereta, apa kewajarannya membantu mereka yang sudah senang-lenang atas alasan mempertahankan hak Bumiputera? 

Seharusnya kumpulan ini bersaing secara terbuka sebagaimana syarikat-syarikat lain tanpa mengharapkan ihsan kerajaan membantu mereka bertatih, saat mereka sudah sepatutnya berlari laju. 

Nurul Izzah Anwar

0 comments:

Post a Comment