Apa itu 1Malaysia?
Konsep yang dicanang besar-besaran sejak Perdana Menteri mengambil alih tampuk pentadbiran negara, baru-baru ini jadi panas semula setelah ia diharamkan di Selangor. Apabila saya terbaca berita konsep itu diharamkan oleh Kerajaan Negeri, saya ketawa sendirian. Mereka itu semua sama sahaja - kata dulang paku serpih!
Benar kita semua tahu slogan itu berbunyi, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan. Secara literal, bunyi slogan itu mudah untuk difahami. Apa yang ralat, mungkin sebagai rakyat, saya masih belum berasa diutamakan dalam konteks tertentu. Tetapi itu pendapat peribadi saya, tiada kena-mengena dengan pegangan politik sesiapa.
Namun, setiap petang, saya jadi saksi utama konsep 1Malaysia untuk saya. Tepat jam 6, Luqman akan berkumpul di jalanan bersama si lima tahun yang lain: Joshua dan Elisa. Joshua berbangsa Tionghua sementara Elisa pula dilahirkan dalam keluarga India Muslim. Warna kulit, bentuk mata dan struktur rambut mereka berbeza sekali.
Kadang-kadang mereka ketawa dan kejar-mengejar antara satu sama lain. Apabila berbalah, mereka pukul-memukul sesama sendiri. Tidak sampai setengah jam, berbaik semula. Dunia mereka tidak pernah ternoda dengan perbezaan keturunan dan bahasa pertuturan.
Itu 1Malaysia. Semangat muhibah tanpa syarat. Bak kata sahabat saya di akhbar Malay Mail, Endie Shazli, yang berpendapat: “1Malaysia is muhibbah on stereoid!” Ternyata, kami tidak memerlukan mana-mana ahli politik untuk menghayati konsep itu, hatta untuk menghalal atau mengharamkan apa-apa sekalipun.
Lantaran, saya juga bertanyakan soalan yang sama di laman Twitter, apa makna 1Malaysia buat mereka? Antara jawapan yang saya kira tersendiri sekarang dihuraikan secara verbatim:
� @sureshdr: 1Malaysia = 1Marketing campaign.
� @shakirah: 1Malaysia means we are colour blind, religion blind, race blind. Love our fellow Malaysians like they are our own relatives.
� @nizambakeri: A brand to unite. Easy-to-eye, multipurpose logo. Everything is 1Malaysia, even toilet. Real effect might have watered down.
� @Sinatra_Z: 1Malaysia = Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan, alasan yang sering saya guna bila marah berurusan dengan agensi kerajaan.
� @auzani: Propaganda politik yang retorikal semata-mata. Perlu ada implementasi jika serius.
� @FaizaFazil: battle cry in our nation’s combat against divisive elements, along class, racial, and religious lines.
� @jailanish: another sloganeering. The concept is applauded but many mixed signals from ministers. I’m confused & take it as a BN political tool.
� @irny93: 1M is like a bowl of rojak. Many different ingredients mixed together in a bowl. They’re different but when put together, WOW!
� @JohnnyRempit: No need lah slogan2 ni. Unity must come from the people. And it’s there already.
� @CakChiBo: I think 1Malaysia is just a facade. An expensive one. Sekadar laungan kosong yang tak mendatangkan makna.
Perbezaan pendapat yang ketara bukan? Ada sesiapa berani mengkritik kefahaman 1Malaysia mereka? Apa diluahkan lahir dari hati dan minda mereka. Kepelbagaian idea dan pendapat mesti disokong, baru kita boleh mendakap erti kemerdekaan sebenar.
Jawapan spontan diartikulasikan bersifat pragmatik, suatu pendekatan yang diambil setelah menimbang tara kesan slogan itu dalam hidup kita seharian. Bukan sudah berkali saya katakan, yang merumitkan keadaan ialah ahli politik bukannya rakyat.
Kerajaan Selangor itu bila sudah terantuk baru hendak tengadah. Setelah dikecam habis-habisan, mulalah cari jalan untuk membuat pusingan U. Perkara mengharamkan konsep atau buah fikiran ini sebenarnya sama dengan cara Mao Zedong memerintah China dalam sistem komunisme. Cara lapuk yang tak laku di hati rakyat.
Kalam saya minggu ini sekadar untuk memberitahu ahli politik bahawa 1Malaysia tiada kena-mengena dengan pencapaian sesiapa, siapa yang didahulukan atau siapa kena tinggal. Saya dilahirkan dalam 1Malaysia, begitu juga dengan sahabat-sahabat lain.
Senang cerita, beginilah, rakyat sudah matang, berilmu dan berinformasi. Kalau ada sesiapa yang menyekat apa-apa bentuk kebebasan – terutamanya kebebasan bersuara dan berfikir sendiri – rakyat akan marah. Apabila rakyat marah, padahnya di mana? Faham-faham sendirilah...
Maaf cakap, saya tidak rasa kerajaan Selangor ‘takut’ apabila mereka mengharamkan konsep 1Malaysia, seperti yang disarankan oleh DPM. Pendapat saya, mereka sudah terkhilaf dalam menghalal dan mengharamkan sesuatu, tanpa mengambil kira kesan negatif yang bakal tiba. Aduh, ahli politik ini kenapa? Tidak sudah-sudah menembak diri sendiri dengan saranan tidak telus di akal.
Apa 1Malaysia di hati anda? Itulah jawapan yang sebenarnya.
ELVIZA MICHELE KAMAL
0 comments:
Post a Comment