Didakwa Di Wad Psikiatri

Hampir seminggu selepas kejadian mengejutkan seluruh negara apabila seorang anggota tentera berpangkat sarjan dipercayai menoreh alat sulit isterinya dengan pisau, akhirnya lelaki terbabit didakwa atas pertuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa, semalam. Prosiding kes berkenaan diadakan di Wad Psikiatri, Hospital Melaka (HM) di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Elesabet Paya kira-kira jam 11.20 pagi dan pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Mhd Asrar, manakala tertuduh, Md Khairudin @ Ab Ka-Shah Panirin, 40, tidak diwakili peguam.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah terhadap Hashimah Nong, 40, dengan menggunakan sebilah pisau kecil di sebuah rumah No 26 Jalan BP 14, Taman Bertam Perdana, dekat sini, kira-kira jam 9.30 pagi pada 3 Mei lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan, jika disabitkan boleh dipenjara 20 tahun dan denda atau sebat.

Sejurus namanya dipanggil jurubahasa mahkamah, tertuduh mengangguk, namun hanya mendiamkan diri apabila pertuduhan dibacakan.

Pihak pendakwaan kemudian memohon tarikh sebutan baru selama sebulan bagi membolehkan tertuduh dihantar menjalani pemeriksaan dan pemerhatian pakar psikiatri untuk menentukan kesihatan mentalnya.

Salwa membuat permohonan itu mengikut peruntukan Seksyen 342 (3) Kanun Prosedur Jenayah dan dibenarkan hakim.

Sementara itu, tertuduh yang memakai baju hospital berwarna hijau hanya mendiamkan diri dan murung ketika duduk di kerusi berdepan dengan hakim sepanjang prosiding selama kira-kira 10 minit itu.

Dia hanya memandang hakim dan timbalan pendakwa raya apabila disoal jurubahasa sama ada memahami pertuduhan itu atau sebaliknya.
Akhbar ini pada 4 Mei lalu melaporkan seorang anggota tentera tergamak menoreh kemaluan isterinya yang memasak hidangan tengah hari di dapur rumah mereka, kononnya terdengar 'bisikan jin' yang menyatakan isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, lelaki terbabit dipercayai memeluk isterinya yang juga seorang jururawat dari belakang sebelum mencederakan bahagian sulit wanita itu menggunakan pisau.

Lelaki terbabit dipercayai melakukan perbuatan kejam itu akibat perasaan cemburu selepas dikatakan diberitahu jin dalam rumahnya bahawa isterinya mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain.

0 comments:

Post a Comment