Premis Diarah Kosong

Seramai 20 peniaga Taman Rempah di sini memohon pertemuan bersama pemilik tanah bagi menyelesaikan masalah membebani mereka.

Ini berikutan arahan mengosongkan kawasan berkenaan daripada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB).

Wakilnya, Abd Karim Kassim, 30, berkata, peniaga sebelum ini mengadakan perjumpaan bersama pemilik tanah kerana ketika itu, mereka diminta mengosongkan kawasan sementara bagi kerja naik taraf.

Menurutnya, pada perbincangan yang turut melibatkan MBMB dan Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), mereka dimaklumkan proses itu hanya mengambil masa kira-kira dua minggu.

“Kami bersetuju mengosongkannya dan berniaga di tapak sementara kerana tuan tanah berjanji akan mendirikan gerai lebih baik supaya kami selesa mencari rezeki. Malahan, kami juga tidak perlu berniaga menggunakan khemah dan ini sangat baik bagi semua pihak kerana dapat meningkatkan pendapatan peniaga.

“Bagaimanapun, kami terkejut kerana selang beberapa minggu selepas itu, kami menerima notis MBMB melalui surat bertarikh 3 Mac yang mengarahkan kami mengosongkan tapak perniagaan masing-masing,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Menurut Abd Karim, notis arahan sama diterima daripada PPSPM pada 15 April yang sekali gus mengelirukan peniaga.

“Kami tidak faham apa yang berlaku sebenarnya. Kami meminta rundingan semua pihak dan sehingga hari ini (kelmarin), masih tiada sebarang jawapan penyelesaian. Kami meneruskan perniagaan di sini kerana tuan tanah tidak pernah memberikan notis menghalau kami dari sini.

“Segala kekeliruan ini diharapkan dapat diselesaikan secepat mungkin kerana ia membebankan kami, lebih-lebih lagi ada antara kami hanya berniaga di sini untuk menampung kehidupan seharian,” katanya ketika ditemui kelmarin.

0 comments:

Post a Comment