Tahun Baru 2011 dirayakan dengan lebih bermakna oleh rakyat Malaysia dengan kejayaan pasukan bola sepak negara memenangi Piala Suzuki AFF pada 29 Disember, kejayaan pertama buat skuad Harimau Malaya yang diharap permulaan kepada kemenangan-kemenangan mendatang.
Selepas kira-kira setahun memenangi pingat emas di Sukan SEA, pasukan Malaysia melahirkan keyakinan, mereka sememangnya sedang bangkit perlahan-lahan sebagai satu kuasa bola sepak di peringkat antarabangsa.
Saya rasa belum terlambat untuk mengucapkan tahniah kepada pemain-pemain, jurulatih dan juga seluruh jentera Persatuan Bola sepak Malaysia (FAM), semoga kalian semua terus istiqamah dalam membawa kegemilangan kepada dunia sukan tanah air.
Kejayaan ini tentulah lebih manis buat penyokong setia dan peminat bola sepak tempatan yang menanti-nanti kemenangan pasukan kebangsaan sejak bertahun-tahun.
Oleh itu buat semua yang bersorak meraikan kemenangan terbaru ini, teruskanlah sokongan anda kepada pasukan kebangsaan, dan yakinilah kemampuan mereka untuk membawa lebih banyak kemenangan.
Saya sedar mungkin masanya masih jauh, tetapi tidak salah untuk mengangan-angankan supaya sekurang-kurangnya skuad kebangsaan ini dapat melepasi pusingan kelayakan bagi menyertai Sukan Olimpik 2012 di London.
Janganlah juga dilupakan, kemenangan ini adalah usaha panjang dan dedikasi bukan satu atau dua individu, tetapi keseluruhan pasukan.
K Rajagobal, jurulatih pasukan kebangsaan satu contoh terbaik sikap keazaman tinggi dan keyakinan dalam memilih yang terbaik dan juga muda untuk mewakili negara. Pilihan beliau menjadi bukti, golongan muda sekiranya dipimpin dengan baik mampu melakar sejarah besar buat negara.
Saya difahamkan FAM mempunyai perancangan rapi dalam menyediakan barisan muda sebagai pelapis skuad bola sepak kebangsaan.
Sebagai seorang wakil rakyat, saya tidak dapat mengelak daripada melihat kejayaan pasukan muda, dalam konteks lebih besar, sebagai isyarat jelas golongan ini sekiranya diberikan pendedahan betul, dan diletakkan dalam persekitaran kondusif dapat memberikan hasil memberangsangkan.
Dan kejayaan itu bukan kecil, ia memberikan sedikit sinar harapan perpaduan buat rakyat negara ini, apabila ia berjaya mengalih fokus rakyat kepada kemenangan dalam bola sepak.
Kejayaan demi kejayaan ditunjukkan mereka juga sebenarnya berlangsung dalam keadaan padang sama rata. Sebenarnya inilah falsafah yang ditanamkan persekutuan bola sepak antarabangsa atau FIFA. Ia bukan setakat menjaringkan gol ke dalam gawang.
Sejarah bola sepak moden, membawa bersama-samanya prinsip ‘fair play’ yang terkandung di dalamnya mesej seperti menerima kekalahan dengan bermaruah, menolak rasuah dan menghormati peraturan demi melindungi kepentingan bola sepak.
Bayangkan juga bagaimana agaknya kalau peraturan permainan dimanipulasi sehingga pengadil dan penjaga garisan gagal bertindak adil, atau sekiranya tiang gol dialihkan sesuka hati. Sudah pasti, keseluruhan pemain dan peminat bola sepak Malaysia akan berasa kecewa.
Saya tidak bermaksud untuk mempolitikkan sukan, tetapi ketika menonton perlawanan akhir itu, saya tidak dapat mengelak daripada memikirkan kacau-bilau dalam ‘permainan’ politik hari ini. Bayangkan jikalau perlawanan itu berlangsung dalam keadaan padang tidak rata.
Persoalan yang timbul di fikiran saya apabila melihat perlawanan itu; adakah ‘permainan politik negara’ ini berlangsung di atas padang yang rata? Adakah pengadil dan penjaga garisan bersikap adil kepada semua pihak? Adakah peraturan yang ada terpakai kepada semua pemain? Bolehkah tiang gol itu terus berada di kedudukannya tanpa dialih ketika bola mendekati gawang?
Satu lagi perkara penting yang timbul daripada kejayaan pasukan kebangsaan di Piala AFF ialah perpaduan dan rasa bangga sebagai rakyat Malaysia. Tidak salah rasanya perpaduan yang dikecapi di padang bola ini dibawa keluar bagi mendesak padang permainan yang sama rata dalam semua bidang, termasuk politik.
Tambahan pula di Eropah, sejak lebih kurang satu dekad lalu, perlawanan bola sepak menjadi ruang kempen anti perkauman.
Dalam dua Piala Dunia terakhir di Jerman dan Afrika Selatan, slogan anti perkauman, “Katakan Tidak Kepada Rasisme” terpapar dengan meluas di stadium-stadium yang menjadi tempat pasukan-pasukan bola sepak beradu kekuatan fizikal.
Memanglah kempen ini bermula untuk menghentikan sorakan atau ejekan melampau penyokong di stadium, namun kekuatan gema mesej anti perkauman dapat dirasakan jauh di luar padang, malah turut menyentuh perasaan walaupun ditonton melalui kaca televisyen.
NURUL IZZAH ANWAR
0 comments:
Post a Comment