Tirai 2010 ditutup manis untuk peminat bola sepak negara. Tanggal 29 Disember menyaksikan suara Garuda Indonesia ditelan hidup-hidup oleh ngauman Harimau Malaya di Stadium Gelora Bung Karno. Sungguh hebat ‘belang’ kesebelasan utama kita, yang diterajui lelaki paling hebat dalam kamus hidup saya ketika ini, K Rajagobal.
Laman Twitter berantakan dengan kicauan tanpa henti dari seluruh rakyat Malaysia. Timeline bergerak pantas, Blackberry dan iPhone bekerja lebih masa atas arahan tuan masing-masing. Mata persis tergam di kaca televisyen, sementara tangan pula memegang erat si telefon pintar.
Saya pasti, hampir seluruh negara sedang menonton perlawanan akhir Piala Suzuki 2010 malam itu. Sorakan jiran-jiran saya, yang rata-ratanya berketurunan Cina, bergema di seluruh kawasan perumahan tatkala gol pertama dirembat masuk oleh Safee Sali.
Memori terakhir saya menyaksikan perlawanan bola hebat adalah ketika arwah Datuk Mokhtar Dahari masih gah menguasai padang bola sepak di rantau ini. Dinobat sebagai ‘SuperMokh,’ arwah Mokhtar Dahari telah menjaringkan 125 gol dalam 167 penampilan antarabangsa. Bak kata rakan saya, Khairul Anuar, pada malam 29 Disember itu, roh dan semangat arwah Mokhtar Dahari sedang tersenyum lebar.
Untuk malam itu juga, kita semua SATU dalam erti kata yang sebenarnya. Perbezaan paksi politik, warna kulit dan bahasa pertuturan adalah isu paling jauh dari minda, tatkala hati sedang berdegup kencang melihat wira negara beraksi di Gelora Bung Karno.
Kita menang selesa, lagi bergaya. Sejarah tercatat pasti. Senyuman K Rajagobal terimbau dalam mimpi kita malam itu. Sorak-sorai kemenangan jadi kenangan tidak boleh dilupakan. Ditambah pula dengan cuti umum yang diberi untuk merai kepulangan Piala Suzuki ke Malaysia buat pertama kalinya.
K Rajagobal, kesebelasan utama dan pemain-pemain simpanan jadi wira peribadi kita. Saya tersenyum sinis membawa kicauan gadis-gadis yang mengajak Khairul Fahmi dan Safree Sali berkahwin – tanpa segan, tanpa silu. Fakta tidak tersangkal malam 29 Disember itu: arena bola sepak negara kembali semula setelah kemarau panjang.
Namun lumrah manusia itu, selalunya tidak sukar diduga. Setiap kali ada alasan kukuh untuk kita rakyat bersorak, pasti ada suara-suara sumbang bakal menyakitkan telinga.
Kali ini suara itu milik pertubuhan bukan kerajaan, Majlis Belia Sabah (MBS), yang meminta gelaran skuad bola sepak negara ditukar dari ‘Harimau Malaya’ kepada ‘Harimau Malaysia’. Sebab? Tanya saya dan pembaca budiman. Kata Presiden MBS, gelaran ‘Harimau Malaya’ itu seolah-olah tidak mengambil kira perasaan rakyat Sabah dan Sarawak yang tidak pernah menyertai Malaya, sebelum merdeka bersama Malaysia.
Tunggu! Tidak habis di situ sahaja, Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO), Wilfed Bumbring, mencelah, kononnya gelaran ‘Harimau Malaya’ itu tidak mendukung konsep 1Malaysia. Wilfred menambah: “Jika Sabah dan Sarawak dipinggirkan, saya cadangkan Sabah dan Sarawak membentuk pasukan bola sepak dan diberi nama Harimau Borneo untuk bertanding dalam kejohanan itu.”
Amboi? Sebelum menang Piala Suzuki ini tidak pula mereka kisah tentang nama jolokan untuk skuad bola sepak negara, bila sudah menang lain pula ceritanya? Maaf cakaplah, ini soal bola sepak, bukan soal Sabah dan Sarawak. Saya tidak rasa suara anda mewakili majoriti penduduk di situ.
Kalau mengikut laman web lebai serba-tahu, si Wikipedia, Harimau Malaya ialah nama sejenis subspesies harimau yang boleh dijumpai di bahagian selatan dan tengah Semenanjung Malaysia dan juga Thailand. Harimau Malaya juga telah dijadikan nama jolokan untuk skuad bola sepak negara – milik kita semua, kebanggaan seantero negara.
Terma ‘Harimau Malaya’ itu tiada kena-mengena dengan sejarah penyertaan Sabah dan Sarawak dalam membentuk Malaysia, dan sudah tentu sekali tiada kaitan langsung dengan konsep 1Malaysia. Dalam kata-kata lain, Harimau Malaya itu persis Pak Belang yang garang di rimba. Tetapi ironis sekali apabila Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Razali Ibrahim, berkata kerajaan akan menimbangkan kompelin terhadap penggunaan terma ‘Harimau Malaya’ itu. Saya nasihatkan Datuk, tak usah pedulikan mereka. Apa ada pada nama kalau skuad kita tidak hebat?
ELVIZA MICHELE KAMAL
0 comments:
Post a Comment